Hilangnya Kasih Ayah
Hari ini Ahad 19.06.2011, kesibukan anak-anak akan terluang bagi mengucapkan “selamat hari bapa”.
Maafkan cikgu kerana telah lama tidak menghantar post-post baru di blog ini. Hari ini sudah 156 hari saya kehilangan kasih seorang ayah yang berusia 91 tahun. Allahyarham telah meninggal pada hari Jumaat 14 Januari 2011, jam 9.40 malam di Hospital Raja Perempuan Zainab I, Kota Bharu, kelantan setelah dibawa dari Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. Beliau telah dimasukkan ke HTA pada hari khamis 13 januari. Kami bersyukur kerana 2 orang kakak dan emak berada di sisi ayah ketika perjalanan terakhirnya. Pemergian allahyarham selepas seminggu adiknya meninggal. Allahyarham adalah anak yang sulong dan yang terakhir meninggal dunia.
Pemergian allahyarham yang terlalu cepat telah membuat saya terlalu merasakan kehilangannya. Hilang puncayang meruntuhkan motivasi untuk seketika. Sakitnya tidak lama, kerenahnya juga tidak banyak. Ini mungkin berkat doanya yang sentiasa memohon agar pemergiannya dengan cara yang mudah. Tanpa menyusahkan anak-anak dan emak yang juga sentiasa uzur.
Sehingga kini, rasa sebak tetap terasa apabila melihat gambar-gambar ayah yang sentiasa suka bergurau, berjenaka dengan mak dan teman-teman rapatnya. Ayah seorang yang periang dan sentiasa mengambil berat pasal anak-anak walaupun pada perkara-perkara yang kita anggap remeh. Memang sukar untuk dicatatkan satu persatu kenangan indah bersama allahyarham. Hanya Allah dan teman-temannya sahaja lah yang tahu bagaimana sikap perihatinya dalam mendidik anak-anak.
Kepada anak-anak yang masih mempunyai ayah atau ibu, jagalah mereka, gembirakan hati mereka sementara mereka masih ada. Tiada apa yang diharapkan oleh ibu bapa daripada anak-anak kecuali perhatian dan kasih sayang. Tiada wang ringgit yang dipinta. Bayaranlah kasih sayang mereka dengan belajar bersungguh-sungguh agar menjadi orang yang berjaya dunia dan akhirat. Jadilah anak yang mengenang budi, anak yang sentiasa menyejukkan hati ibu dan bapa.
KEPADA semua pengunjung blog ini yang beragama Islam, saya mohon bacakanlah surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada ayahanda saya agar rohnya sentiasa dicucuri rahmat. Ya ALLAH, lapangkanlah kuburnya, sinarilah alam kuburnya dengan cahaya rahmat-Mu, jauhkan seksaan kuburnya, terimalah segala amal ibadat, sedekah jariahnya, amalan-malan baiknya dan tempatkannya di kalangan orang-orang yang soleh di akhirat nanti. Amin.
If you enjoyed this post, please consider to leave a comment or subscribe to the feed and get future articles delivered to your feed reader.






